Ingin sekali saya kongsikan dengan anda tentang satu analogi yang cukup mudah untuk menerangkan satu sifat yang patut ada dalam setiap daripada kita. Biarlah dengan sifat ini ia menyedarkan diri kita tentang siapakah diri kita yang sebenarnya dan apakah posisi kita di dunia ini.
Sahabatku,
cubalah kita sama-sama bayangkan seorang petani yang menanam benih yang baik serta pada tanah yang cukup subur. Kemudian dia menyiram dan membajai benih ini agar ia mempunyai nutrian yang secukupnya. Dia juga tidak lupa untuk melindungi tanamannya daripada serangga dan mahkluk perosak yang lain agar tanamannya ini sentiasa dalam keadaan yang terbaik. Sambil menanti musim menuai, dia sentiasa menumpukan perhatian pada tanamannya agar tiada bencana mahu pun penyakit yang mendatang agar dia mendapat hasil tuaian yang terbaik.
Nah sahabatku, tidakkah dia layak untuk mendapat hasil tuaian yang baik di atas usahanya itu?
Begitu jualah dengan hati manusia ini, sahabatku. Sekiranya ia ditanam dengan benih keimanan, disiram dengan air ketaatan, dibajai dengan keikhlasan dan kesungguhan serta dijauhkan daripada segala akhlak-akhlak yang buruk, tidak patutkah kita mengharapkan daripada Allah untuk menerima hasil tuaian yang baik di akhirat kelak?
Ya sahabatku, dan ini juga yang dapat kita fahamkan daripada sifat ar-raja' iaitu sifat mengharap kepada Allah SWT.
Pernah atau tidak dalam kehidupan kita ini, kita tertanya, bilakah saat-saatnya aku berharap kepada Allah? Adakah hanya pada ketika kita diselubungi kesusahan? ataukah pada setiap kali kita beramal dan kita berharap Allah menerima setiap amalan kita?
Sahabatku, moga-moga kita adalah yang terakhir. Sentiasa berharap kepada Allah. Dan sifat berharap ini sahabatku, adalah sifat yang terpuji kerana ia sering mendorong kita untuk beramal dan berkerja dengan bersungguh-sungguh seperti petani yang mengharapkan hasil tuaian yang baik itu.
Ingatlah sahabatku, Allah itu Maha 'adil dan Maha penyayang. Dia pasti akan memberikan ganjaran yang lumayan pada hamba-hambanya yang mengharap kepada-Nya.
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, mereka akan mendapat syurga-syurga yang penuh kenimkatan, mereka kekal di dalamnya, sebagai janji Allah yang benar. Dan dia Mahaperkasa, Mahabijaksana." [Luqman, 31 : 8-9]Sebagai pengakhiran daripada sahabatmu ini, ingin sekali lontarkan sebuah persoalan pada anda dan moga persoalan ini sentiasa bermain dalam minda kita supaya kita tidak lupa akan janji kita pada Allah suatu ketika dahulu sebelum kita dilahirkan.
Wajarkah seseorang itu mengharapkan rahmat dan kasih sayang dari tuhan yang tidak dia taati?
Wallahu'alam.
oringinated from ~Ku Seorang Pengembara~
1 comment:
semoga kita menjadi yang lebih baik untuk hari esok.
Post a Comment