Thursday, February 28, 2008

KBM di SMK Tun Ismail, Pt Raja, Batu Pahat.

Alhamdulillah pada 23 - 24 Februari lalu, KRJ Batu Pahat telah berjaya menyempurnakan program KBM di SMK Tun Ismail, Pt Raja, Batu Pahat. Ini merupakan KBM pertama bagi tahun ini di BP. Seramai hampir 200 orang pelajar (60 lelaki dan 140 perempuan) dari tingkatan 5 dan 6 atas telah mengikuti program ini...



Walau dalam serba kekurangan terutamanya slot Inteam dan MKMS di mana pengendalinya baru pertama kali melakukannya. .. namun ianya berjaya juga dilaksanakan dengan beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki untuk lebih mantap. Alhamdulillah respons pelajar, ibubapa dan pihak sekolah amat positif dan ini melegakan krew KRJ BP



Thursday, February 14, 2008

Kembara Sainaa' (Sinai)



oleh Munawwar AR (munawwar.ar@gmail.com)

Sedikit sebanyak mengenai Sinai, di semenanjung ini terdapat Gunung Sinai yang dikenali sebagai GUNUNG HOREB atau JABAL MUSA oleh masyarakat Arab Badwi (kampung). Gunung yang berketinggian 2285 m ini tak kurang hebatnya dari sudut sejarah sehingga ia menjadi tempat bersejarah bagi 3 agama iaitu Yahudi, Kristian dan Islam. Di puncak gunung ini, tempat di mana Nabi Allah MUSA a.s bermunajat dan mendapat wahyu daripada Allah SWT...terdapat juga gereja ortodoks yang berusia lebih 500 tahun. Dengan kesejukan -5 hingga 5 darjah celsius sewaktu malam...gunung ini tidak pernah sunyi menerima kunjungan daripada ketiga-tiga penganut agama yang datang dari seluruh pelusuk dunia. Gunung ini juga ada disebut oleh Allah SWT di dalam Surah At-Tin. Gunung ini juga menjadi laluan sahabat dan panglima Islam yang masyhur 'AMRU AL-ASR ketika membawa Islam ke bumi Mesir.

Kemurniaan Islam terserlah apabila rahib-rahib dari GEREJA ST. CATHERINE (sebuah gereja purba yang diasaskan pada 547 masihi) masih terus menerima penganut kristian ortodoks walaupun selepas penguasaan Islam ke atas Mesir, membuktikan Islam menghormati agama lain. Ramai penakluk yang masyhur juga pernah melalui semenanjung Sinai, antaranya ISKANDAR Yang Agung pernah mengepalai 1 batalion tentera yang besar melalui semenanjung ini. Begitu juga RAMSES II, NAPOLEON BONAPARTE dan juga panglima Islam yang membebaskan al-Quds, SALAHUDDIN AL-AYYUBI.



Semenanjung ini juga pernah menyaksikan konflik dahsyat antara ARAB-ISRAEL (selama 40 tahun) yg kesannya masih dapat dilihat pada tinggalan-tinggalan binaan yang musnah termasuk KUBU ISRAEL berhampiran UYUN MUSA ( Telaga Musa a.s). Malangnya, peristiwa2 bersejarah ini yabg disaksikan oleh bumi Sinai ini semakin dilupakan. Sebaliknya semenanjung ini dikenali dengan keindahan buminya tersendiri daripada sejarah hebat yang pernah terakam padanya.


Pagi tanggal 7 Feb, kami seramai 50 orang mula berkumpul di tepian Jalan Hayyu A'shir menunggu bas yang akan membawa kami ke Semenanjung Sinai dan kawasan sekitarnya. Kebanyakan dari kami pertama kali berpeluang ke Semenanjung Sinai. Sebelum ini, pelbagai cerita dan koleksi sejarah mengenai semenanjung ini bermain2 di telinga kami..

Bas mula bergerak ke destinasi sekitar jam 8 pagi..sepanjang perjalanan kami mengambil kesempatan untuk berkenalan antara satu sama lain, memandangkan ada di kalangan kami yang baru pertama kali bertemu..

Sepanjang perjalanan kami disajikan dengan pemandangan padang pasir yang sungguh luas. Subhanallah..terdetik dihati, hebatnya ciptaan Allah dan betapa kerdilnya diri ini. Terus terbayang suasana manusia dikumpulkan suatu hari nanti di padang Mahysar..

Satu pengalaman yang amat menarik, bas yang kami naiki melalui terowong yang dibina di bawah terusan Suez menggunakan teknologi Perancis dan Jepun.Terusan Suez adalah laluan yang amat penting untuk kapal-kapal besar dari Eropah menuju ke Asia..

Perjalanan kami diteruskan,dan sekitar jam 11 pagi kami tiba di destinasi pertama bernama Taba.

TABA ialah sebuah pekan kecil, keluasannya tidak sampai 1 kilometer persegi terletak bersempadan bumi Palestin, dan berada di persisiran pantai Teluk Aqaba. Sukar hendak digambarkan, betapa rindunya hati ini pada Al-Aqsa apabila melihat tanah di bumi Palestin secara live.Terbayang wajah saudara-saudara di Palestin yang sedang sibuk melempar batu menentang zionis Yahudi yang merampas tanah air mereka. Kanak-kanak kecil kehilangan ibu bapa, adik kehilangan abang, isteri kehilangan suami.. Allahuakbar!! Hanya doa mengiringi air mata yang bergenang saat itu..Kami dinasihatkan supaya tidak mengambil gambar di kawasan sempadan demi keselamatan bersama kerana kawasan tersebut kawasan tentera..

Di Teluk Aqaba ini, tersergam indah Kubu yang dibina Salahudin Al-Ayyubi di atas sebuah pulau..Tidak tergambar ketenangan apabila berada di atas kubu ini.. Saujana mata memandang, dari sini kita boleh melihat 4 buah negara..Mesir, Palestin, Jordandan Arab Saudi..Terbayang ketokohan Salahudin Al-Ayyubi yang bijak membina kubu diatas pulau yang sangat-sangat strategik ini.

Hari mulai gelap,bas meluncur laju membawa kami ke perkarangan kaki Gunung Sinai, Jabal Musa. Jam 9 malam kami tiba di destinasi. Spontan tangan memeluk tubuh apabila disentuh angin yang terlalu dingin. Berhelai-helai baju yang terlipat didalam beg terus disarung. Sementara menunggu ranjer, seorang Arab Badwi yang akan memandu kami tiba, pelbagai pengisian dikongsi di dalam kumpulan.

Setelah puas menanti, hingga ada yang tertidur...tepat jam 12 tengah malam, Arab Badwi yang dimaksudkan tiba. Setelah bersiap-siap untuk mendaki termasuk stretching dan memanaskan badan,pendakian pun bermula. Ketika kaki ini melangkah, terbayang bekas-bekas jejak langkah Nabi Musa a.s di track yang kami lalui..Alhamdulillah, kami berpeluang merasai sendiri perasaan yang mungkin pernah dirasai Musa a.s..Wallahua'lam..

Pendakian sangat meletihkan, ye la..dah lama tak mendaki..terkenang ketika perkhemahan di sekolah dahulu, mendaki gunung bersama sahabat-sahabat di Endau-Rompin..tapi suasana betul-betul berbeza..Endau-Rompin menghijau dengan hutan rimba, Jabal Musa menguning dengan pasir dan batu-batuan..

Hampir jam 4 pagi, kami tiba di checkpoint terakhir..semput betul dada ini, ditambah pula angin yang sangat sejuk..terasa kebas bibir ni...betul-betul mencabar. Untuk mengelakkan suhu badan turun, kami berehat sebentar di tempat rehat yg disediakan sambil meminum syai (teh) yang berharga 5 junaih (lebih kurang 3 ringgit..mahal tu)

Kira-kira 20 minit sebelum subuh..kami meneruskan pendakian ke puncak yang mengambil masa 3 minit sahaja..sampai di puncak, tersentak hati kami melihat sebuah gereja ortodoks yang terbina lebih besar dari musolla di sebelahnya. Rupa-rupanya, ramai yang sudah berada di puncak, dari Indonesia, Korea, Chechnya dan juga rombongan Malaysia yang lain..

Selesai solat subuh, sayup-sayup di telinga kami suara beberapa warga Indonesia Kristian menyanyikan lagu-lagu bernada gospel memuji Jesus di sisi gereja.. satu tamparan bagi kami melihat pelbagai ragam manusia yang berlainan agama melakukan pemujaan mengikut kepercayaan masing-masing..

Hampir jam 7 pagi, saat yang dinantikan semua tiba..melihat pemandangan matahari terbit..semua yang berada di atas mengambil posisi terbaik masing-masing untuk melalui pengalaman yang sungguh indah, yang berkamera, bersedia dengan kamera mereka..Saat matahari muncul, pelbagai ucapan kedengaran dari pelbagai penganut agama yang berbeza..kami yang berasa izzah dan bangga dengan Islam, melaungkan Subhanallah, Allahuakbar anada yang kuat untuk mengatasi suara-suara lain..Sungguh cantik ciptaan Allah SWT..Subhanallah..

Untuk mendapatkan semula semangat untuk menuruni Jabal Musa, kami menasyidkan lagu tema yang dipetik dari sebuah kumpulan nasyid Indonesia, Izzatul Islam dengan penuh bersemangat..

Kehidupan bagaikan roda
Beribu zaman terus berputar
Namun satu tak akan pudar
Cahaya Allah tetap membahana

Majulah sahabat
Berpisah bukan akhir segalanya
Lepas jiwa terbang mengangkasa
Cita kita tetap satu jua
Cita kita tetap satu jua

Walau raga meregang nyawa
Harta dunia tiada tersisa
Namun jiwa tetaplah satria
Takkan surut satu langkah jua

Debu - debu dan darah suci
Saksi nan tak terbantahkan lagi
Gunung lembah hutan dan
Untuk Allah diatas segalanya
Untuk Allah diatas segalanya

Tujuh awan bersuka ria
Ruh suci menuju Rabbnya
Sahabat nantikan hadir kami
Kan menyusulmu sekejap lagi

Bidadari nan bermata jeli
Menyongsong dengan wajah berseri
Sahabat kami rela kau pergi
Jihad kita kan terus bersemi
Jalan ini takkan pernah henti

Tak terkata perasaan ketika menasyidkan lagu ini..begitu bangga dengan Islam..Semua yang berada dipuncak ketika ini tertumpu kepada kami..terpegun dengan semangat yang berkobar-kobar di hati kami..

Hampir jam 9 pagi kami tiba di kaki gunung dan bersiap-siap ke destinasi seterusnya..kami berpeluang melawat kesan dari kisah lembu Samiri, makam Nabi Harun a.s dan Nabi Saleh a.s..

Destinasi terakhir kami sebelum pulang ke Kaherah, melawat bekas kubu tentera ISRAEL yang
berjaya ditawan tentera MESIR ketika perang satu masa dahulu..kubu ini ketika dikuasai oleh tentera ISRAEL, sangat ampuh dan terletak di bawah padang pasir..dan tentera MESIR berjaya menawannya dengan menyerang kubu ini menggunakan air, ilham dari mimpi Syeikh Al-Azhar ketika itu..menurut apa yang diceritakan..Allahuakbar..hebat kuasa Allah SWT. Berhampiran kubu ini juga terdapat telaga Musa a.s..

Setelah puas bergambar dan melihat-lihat..kami memulakan perjalanan pulang ke Kaherah (Cairo), sekali lagi kami melalui terowong yang dibina di bawah Terusan Suez.. diceritakan, sebuah kapal yang melalui terusan ini, dikenakan cukai bernilai beribu2 Dolar US..

Hampir jam 5 petang..kami selamat sampai semula di tepian Jalan Hayyu A'syir.

Sedikit perkongsian pengalaman,
Munawwar Abdul Rahman,
Mesir..

Tuesday, February 05, 2008

Dr. Gary Miller Takjub Ketika Mengkaji Al-Quran

Dipetik dari buletin Jom KRJ bil 1 ( dis '07/jan' 08)

Dr. Gary Miller merupakan seorang paderi (minister) dan pakar matematik yang berasal dari Kanada. Pada tahun 1978 beliau berkesempatan untuk membaca Al-Quran dan beliau terkejut dengan mesejnya yang jelas lagi menakjubkan. Beliau kemudiannya memeluk Islam dan telah menulis beberapa artikel membuktikan Al-Quran sebenarnya kalam Allah.

Di antara aspek yang mengkagumkan beliau ialah, walaupun Al-Quran diturunkan kepada mereka yang hidup di padang pasir, isinya berbagai-bagai termasuk perincian berhubung lautan dan ombak. Beliau menceritakan kisah seorang ahli pelayaran dari Toronto yang diberikan terjemahan Al-Quran untuk dibaca. Selepas membacanya ahli pelayaran itu telah bertanya:"Adakah Muhammad seorang ahli pelayaran?" Beliau diberitahu: "Tidak!""Jika demikian ini merupakan suatu yang pelik kerana isi Al-Quran berhubung lautan, awan dan ombak begitu terperinci dan tepat dengan apa yang sebenarnya berlaku, sepanjang pengalaman saya, sedangkan Muhammad seorang yang sentiasa berada di kawasan padang pasir!" Ini membuktikan Al-Quran bukan karangan manusia tetapi wahyu daripadaAllah.

KBM SMKA Falahiah, Kota Bahru

Laporan oleh Kak Fidah

Alhamdulillah pada 31 Januari dan 1 Feb 2008 Program KBM dapat dijalankan di Sek Men Keb Agama Falahiah, Kelantan Seramai 129 pelajar sekolah telah mengikuti program KBM ini.

Ana mewakili rombongan team KBM dari Johor ( Pak Lang , Pak Chu, Abu Nuha, Ihsan, Fida & Muss ) serta team KBM dari Perak ( Pak Teh, Pak Ngah dan Bob ) mengucapkan berbanyak terima kasih kepada JIM Kelantan yang telah memberi peluang kepada kami untuk berprogram bersama antum semua. Terima kasih juga kepada Mok Su dan Pok Su yang menjaga kebajikan kami di sana dengan cukup baik sekali...kalah layanan hotel five stars, terasa sangat sampai sekarang indahnya ukhuwah sepanjang berada di sana.

Sesungguhnnya segala yang baik itu datangnya dari Allah dan milik Allah. Sebarang kelemahan dan kesilapan itu datanganya dari diri kami dan pengendalian kami yang I.Allah akan kami perbaiki dari masa ke semasa.


Sebahagian maklumbalas peserta.

Saya dapat rasakan program KBM yang dianjurkan oleh KRJ adalah program yang lain daraipada yang lain. Program ini banyak menyelitkan paparan hidup kita, realiti hidup kita mengenai hubungan Allah, Rasul, Ibubapa dan sahabat adalah satu keindahan.

Program ini sangat menarik dan kreatif kerana tidak banyak ceramah.

Saya merasakan bahawa program ini terbaik yang pernah saya lalui. Saya dapat mendekati tuhan, merasa rindu kepada Nabi Muhammad S.A.W dan dapat menyanyangi ibubapa. Saya berharap program ini dapat dibuat lagi di masa depan di Kelantan. TOLONGLAH ADA SEKALI LAGI DI KELANTAN .

Saya berasa sangat sedih kerana program ini mengambil masa terlalu singkat. Saya berharap dapat bekerjasama dengan KRJ pada suatu hari nanti.

Program ini amat mengusik perasaan hati kami yang dulunya keras yang amat tidak mengenal erti kehidupan membuatkan kami kenali ertinya kehidupan.

Rasa bertuah dan bersyukur kerana dipilih oleh Allah SWT untuk bersama - sama menyertai program sebegini. KRJ berjaya merangka satu modul yang banyak memberi manfaat kepada muda-mudi masa kini. Kita seringkali dibanjiri dengan program motivasi. Walaubagaimanapun, tidak semua program menyeimbangkan antara hal duniawi dan ukhrawi. Sukar menemui program sebegini pada zaman yang lebih mengagungkan budaya hendonisma. Semoga pihak KRJ terus mencerna idea-idea yang kreatif agar remaja masa kini sedar dan faham kewujudan mereka di bumi Allah. Program ini juga dilihat berjaya memotivasikan anak-anak muda untuk menjadi generasi yang soleh wa musleh. Di samping memotivasikan pelajar-pelajar program ini menekankan kepentingan hubungan yang baik dengan Penciptanya, Allah swt, Rasul, Ibubapa , guru-guru dan rakan-rakan. Memotivasikan pelajar dengan mengingati kematian juga memberi kelebihan bagi program ini. Secara keseluruhan lain dari yang lain dan pada masa yang sama sangat efektif.

Pengisian rohani yang dijalankan oleh fasilitator adalah pengisian yang paling berkesan yang pernah saya dapat.

Syukur kehadrat Allah swt kerana telah memilih hambamu ini untuk menjalankan dan mengikuti program ini. Sepanjang saya berada di dalam program ini telah banyak mengubah sikap saya sebagai seorang pelajar yang pemalu kepada pelajar yang aktif. Saya berharap agar ini dapat dibuat sekali lagi pada tahun ini.

Bukanlah perkara pelik apabila melihat insan berubah, tetapi yang pelik, sejauh mana perubahan yag dilakukan. Oleh itu doakanlah kami disini untuk berhijrah kearah kebaikan dan ke jalan yang diredhai Allah. Doakanlah kami disini agar berjaya dunia dan akhirat, semoga kami dapat menajwab soalan SPM dan STPM dengan jayanya setanding dengan usaha kami.

Program ini banyak menolong saya mengenal apa erti sebenar atau makna mudahnya bersama MU Allah, Indahnya bersamamu Rasulullah, indahnya bersamamu sahabat dan indahnya bersamamu Ibubapa.

Musim tengkujuh baik banjir
Suko sungguh masuk program KRJ

Panjat pokok kene sengat oleh lebah
Suko sebab dapat bermuhasabah


Pergi kedah bawak guni
Program ini bemanfaat kepada kami.

Ingatlah wahai para pencetus program :- ALLAH BERSAMAMU WAHAI PEMBIMBING, TERUSKAN PERJUANGANMU MENEGAKKAN AGAMA ISLAM.

Program ini merapatkan semula hubungan kami sesama sahabat. Eratkan ukhuwah kami. Merapatkan hubungan kami yang telah renggang.

SURE - SUkan REmaja 2009!!!