Friday, September 18, 2009

Ramadhan Berlalu Pergi Syawal Setia Menanti

Ramadhan Berlalu Pergi Syawal Setia Menanti

Ramadhan kini hampir dipenghujung.
Syawal bakal hadir dalam detik waktu yang
begitu dekat. Mudah-mudahan kita menjadi insan
yang telah berjaya menghadapi ujian Allah dan bakal dianugerahkan
ijazah taqwa setelah menamatkan latihan di puncak menara gading
Ramadhan. Dan Aidil Fitri yang disambut sebagai lambang
kesyukuran kita terhadap kejayaan menunaikan tuntutan Allah.

Sebelum mengharapkan darjat taqwa, seharusnya tanyalah pada
diri, sama ada kita berpuasa sekadar memenuhi budaya bulan Ramadhan
di mana semua orang Islam perlu berpuasa, atau sekadar membolehkan
kita berbuka dan berhari raya? Jikalau itulah yang dihajatkan, kita akan
mendapatinya. Tetapi jika ingin menjadikan puasa sebagai satu bentuk
latihan untuk memperbaiki diri, kita akan mendapat lebih daripada
hanya lapar dan dahaga atau lebih daripada
hanya berbuka puasa dan
berhari raya.

Sesungguhnya Ramadhan
mentarbiyyah kita agar berpuasa daripada
segala bentuk keburukan dan kekejian hati,
perasaan danamalan buruk, sebaliknya mula bermesra
dengan sifat-sifat terpuji. Amalan-amalan tambahan yang dilakukan,
tilawah Al-Quran, solat tarawihdan bersedekah antara wasilah mencapai ke darjat taqwa. Dan kita mula mencurigai segala amalan yang tidak baik. Ini menjadikan bulan Ramadhan adalah bulan untuk melakukan segala amal soleh danmembuang jauh segala amal mungkar.

Tetapi persoalan yang perlu ditanya pada diri sendiri, sejauh
manakah semangat dan roh puasa yang dipupuk selama sebulan itu
masih dapat bertahan? Apakah kita telah mula menjadi manusia biasa
seperti sebelum Ramadhan dan meninggalkan segala watak baik dalam
bulan tersebut? Alangkah baiknya penghayatan Ramadhan dengan
segala amalan mulia yang telah disemarakkan dalam bulan Ramadhan
akan terus dipertingkatkan. Dengan itu barulah Ramadhan yang telah
sama-sama kita lalui mencapai fungsi dan kesan yang mendalam
terhadap peningkatan amal soleh kita.

Hari raya yang sama-sama kita rayakan,
jangan sampai menjadi perayaan atau pesta
balas dendam terhadap perkara yang tidak dapat
dilakukan semasa bulan Ramadhan. Lalu pada Hari Raya
dilakukansemahunya. Alangkah eloknya jika dalam merayakan Syawal, semangat dan roh Ramadhan tetap terpelihara. Tanda syukur di hari raya bukan
ditandai dengan amalan dan kegiatan yang berbaur kemaksiatan dan
kekejian. Tidakkah Aidil Fitri itu antara maknanya kembali kepada
fitrah, iaitu fitrah kejadian manusia yang bersih dan suci?

Seharusnya tanda syukur itu dengan
menghiasai Hari Raya dengan memperbanyakkan
takbir, tahmid, dan tahlil, memperkukuh ukhuwwah dengan
ziarah menziarahi dan bermaafan sesama insan dan berterusan menjaga
adab dan akhlak yang mulia dalam menyambut Syawal yang tiba.

Mudah-mudahan Ramadhan yang kita lalui dan Syawal yang dirayakan adalah satu kesinambungan yang dilaksanakan bagi memenuhi
arahan Ilahi. Dan kita menjadi insan yang
memperolehi darjat taqwa hasil dari
tarbiyyah Ramadhan.

Salam Adilfitri…taqabal Allahu minna wa minkum

(artikel adalah dari Buletin Ramadhan keluaran 5/5 JIM Ipoh 2007)

No comments:

SURE - SUkan REmaja 2009!!!