Friday, February 19, 2010

Bayi luar nikah mesti diberi peluang untuk hidup

artikel ini adalah daripada:

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bayiluarnikahmestidiberipeluanguntukhidup/Article/index_html

KUALA LUMPUR: Setiap bayi yang dikandung melalui hubungan perzinaan berhak disambut kelahirannya oleh pasukan perubatan terlatih di premis kesihatan serba lengkap yang mampu mengendalikan sebarang kecemasan. Malah setiap ibu yang hamil berhak mendapatkan jagaan sempurna bagi memastikan kesihatannya dalam keadaan baik sepanjang masa.

Naib Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj, berkata statistik antara 2000 sehingga 2006 menunjukkan sebanyak 580 bayi dibuang dengan majoriti 92 peratus baru lahir manakala lapan peratus lagi masih janin menyebabkan pendekatan lebih serius perlu diambil dan tidak dilihat daripada sudut gejala sosial dan seksual semata-mata. “Dalam Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2007, satu kajian di Lembah Klang mendapati seorang bayi dibuang setiap 10 hari dan lebih membimbangkan, ia tidak lagi berlaku di bandar besar malah di desa dan luar bandar. “Setiap bayi baru lahir yang ditemui mati dikira kematian neonatal (bayi berusia tidak lebih empat minggu) yang menandakan keadaan kesihatan tidak sempurna, malah awal Julai lalu dilaporkan penemuan mayat reput seorang wanita di bilik asrama sebuah Institut Pengajian Tinggi (IPT) bersama bayi dilahirkannya secara sendirian yang sepatutnya dielakkan sekiranya jagaan kesihatan serta perubatan diberikan,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam. Sehubungan itu, menurutnya, pendekatan lebih menyeluruh dengan menekankan aspek pencegahan dan rawatan perlu diambil bermula pada tahap individu diperkayakan kemahiran membuat keputusan bijak serta bertanggungjawab berkaitan aspek seksualiti mesti mempunyai daya tahan, disiplin serta integriti mengendalikan emosi serta keinginan nafsu syahwat.

“Usaha mesti dipertingkatkan supaya institusi keluarga dan masyarakat kembali membangunkan sistem nilai dan disiplin yang mampu mengawal tingkah laku malah pihak berwajib mesti mengekang sebarang aktiviti pergaulan bebas,” katanya.

Beliau berkata, strategi mendidik dan menyeru masyarakat kembali mengamalkan ajaran agama yang menekankan gaya hidup murni mesti dilipat gandakan dan menjadi keutamaan di setiap peringkat dari pucuk pimpinan negara sehinggalah kepada rakyat jelata .

Dr Harlina berkata, setiap janin dan bayi, sekalipun yang terhasil daripada perzinaan mestilah diberikan peluang serta hak hidup berpandukan sirah Rasulullah S.a.w, di mana seorang wanita Al-Ghamidiyah mengaku hamil selepas berzina dan meminta dilaksanakan hukuman hudud ke atasnya.

1 comment:

Unknown said...

selamatkan mereka yang tidak berdosa.

SURE - SUkan REmaja 2009!!!