Aku senyum tatkala menulis secebis kata ini dalam ruangan siber pada pagi yang terang. Matahari melampiaskan cahayanya ke dalam bilikku. Menerangi dunia yang seakan baru terjaga dari tidurnya yang diselimuti malam gelita yang Allah sebutkan ianya sebagai pakaian buat kita [AnNaba':10].
Suasana pagi mencetus getaran keinginan untuk mengimbau kembali betapa besarnya ciptaan tuhan. Betapa hebat kekuasaan Ilahi. Tuhan yang empunya segala keagungan. Betapa suasana pagi sebegini memangkin kekuatan diri untuk cuba menghayati bait-bait petanda cintaNya dalam mengingatkan manusia bahawa Dialah ALLAH yang mentadbir 'alam melalui kehebatan ciptaanNya. Ciptaan yang tidak tertiru dek manusia yang serba kurangnya. Betapa suasana pagi mengajak minda berfikir, terawang-awang di celah awanan imaginasi. Memikirkan ayat-ayat suci dan menghubung dan mengait dengan kebesaran ilahi.
Betapa esanya Allah dalam segala sesuatu. Betapa Dia telah menceritakan kekuasaanNya. KemampuanNya untuk memberikan kekuasaan kepada sesiapa sahaja yang Dia suka. Betapa Dia mampu memuliakan sesiapa sahaja atau menjadikan sesiapa sahaja hina.
"Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya." [Ali 'Imran:26-27]
Betapa Dia memperlihatkan bahawa kekuasaan itu di tanganNya. Yang tidak mampu manusia rebut seandainya tidak memperolehi izinNya. Tidak mampu manusia lakukan bila tiada redhaNya. Ternukil dalam alQur'an tentang raja yang tak mampu berbuat apa tatkala Ibrahim (AS) mengesakan Tuhannya tuhan yang menerbitkan matahari dari timur dan dicabarnya raja untuk menerbitkan matahari dari barat [AlBaqarah:258].
Betapa Dia Maha menguasai sesuatu yang tidak mampu manusia lakukan, mentadbir proses siangnya malam, dan malamnya siang. Indahnya pagi dan petang, akibat dari peredaran masa ketentuanNya. Natijah dari tadbiranNya memasukkan siang ke dalam malam, dan malam ke dalam siang. Hebatnya Dia tatkala menjadi waktu itu asas perancangan manusia. Seakan jalan yang terturap buat manusia berjalan di atasnya. Mempermudahkan manusia merancang destinasi hidupnya.
Betapa hebatnya Tuhan, Allahu Rabbunaa. Yang menghidupkan yang mati dan mematikan yang hidup. Seperti yang terkisah tentang Nabi Ibrahim (AS) dan lelaki soleh yang bertanyakan tentang caranya Allah menghidupkan yang mati. Lalu Allah tunjukkan dua contoh; contoh keldai yang tinggal tulang dihidupkan kembali di hadapan lelaki soleh itu, dan contoh burung yang dicincang hadir kembali di sisi Ibrahim (AS) tatkala dia memanggilnya [AlBaqarah:259-260].
Subhana lLahi walhamdulillah walaa ilaaha illa lLahu walLahu akbar! Walaa hawla walaa quwwata illaa bilLahi l'aliyyi l'azhiim.
Allahua'lam... Aku menulis sekadar cetusan rasa dan secebis kata. Maka Allahlah yang maha memberi hidayah. Dan Dialah yang menurunkan ketenangan dalam jiwa resah menginginkan cintaNya.
2 comments:
Baru tahu ada blog ini. Saya dari UIAM. Sila jemput ke blog saya www.studiomuslim.wordpress.com
huhu...
tazkirah dia...panjang nya...
Post a Comment